วันเสาร์ที่ 20 กันยายน พ.ศ. 2551

Mencari tenang dicelah kesibukan..




hakikat seorang pejuang Islam, dirinya akan sentiasa disibukkan dengan bebanan amanah dakwah. Di mana-mana pun,tanggungjawab menegakkan agama ALLAH tidak akan terlepas dari dirinya. Kita melihat dengan penuh keinsafan bahawa Islam kini dipersendakan dan dipinggirkan, dusturnya diremeh temehkan, syiarnya hanya tinggal perlambangan, sedang izzah sebenar Islam tidak mampu ditonjolkan. Justeru sebagai mukmin sejati, antara sifat utama yang perlu ada pada dirinya adalah sensitif terhadap permasalahan ummah. merasa diri tercuit dan terpukul tatkala sahabat seaqidah dipermainkan.

Lataran kita telah berbaiah untuk setia bersama perjuangan, kita perlu melalui denai dan lorong yang gelap lagi susah. Kerja mengembalikan kedaulatan ummah bukan senang bicara yang terungkap, tuntutan perjuangan memaksa kita untuk berpenat dan bersusah. Kita belum kembali ke medan sebenar, tapi cukup medan latihan ini menjadi gelanggang untuk kita mulakan langkah menyusuri jejak Rasullullah. Seringkali kita terpaksa merelakan waktu-waktu luang kita berlalu kerana orang lain, tiada lagi istilah waktu keemasan untuk bersantai atau berehat dari kamus kehidupan kita.

Sesekali menyuluh dasaran diri.....kita sebenarnya mempunyai terlalu banyak kepincangan. Jika sahabat antara mereka yang sibuk menginfakkan diri, tenaga dan masa fisabilillah, renungkanlah diri barang seketika, teliti dan selidikilah hati yang kadang kala kita abaikan. Kekasih kita Rasullullah pernah menyuarakan:

"tetaplah seorang hamba itu dalam kebaikan

selagi mana hatinya menjadi penasihat untuknya"

Sebenarnya jika diselidiki, Rasullullah yang menjadi model kehidupan ummat merupakan manusia yang paling sibuk. Tugas mendidik ummat terpikul di pundak baginda, mad'u baginda bukan seorang dua, malah amanah dakwah kepada semua manusia lain. Ujian untuk baginda pula bukan seperti kita. Baginda ditekan dan diuji sehinggakan penduduk bumi seolah-olah tidak menerima baginda lagi. Namun itulah yang dinamakan hukum alam, betapa setiap detik kehidupan baginda mengandungi hikmat buat kita generasi kemudian. Rasullullah terhina dan terluka, tapi baginda masih boleh berlaku rahmat dan kembali kepada yang maha pengasih. Baginda tenang dicelah kegawatan, bahagia ditengah derita dan ujian.

Hati kita tentu perlu mengimpikan ingin menjadi setabah Rasullullah dalam doa munajat kita pada tuhan kita mesti memohon dikurniakan tempias kesabaran baginda, kerana kita penyambung perjuangan yang diwariskan tetapi kitakah pemilik ketabahan dan kesabaran itu?

Sabar bukan setakat mainan kata, kadang-kadang bibir mampu menuturkan kalimah sabar tapi hati kita kalah dan luluh dengan ujian tuhan, seolahnya tidak meredhai ketentuan. Mengapa kita tidak seperti Rasullullah, atau setidaknya jiil salafussoleh yang tertarbiah di madrasah nabawiyyah baginda?

Betapa kita perlu mengikut qudwah baginda, malah segenap ruang kehidupan perlu sinonim dengan amalan Rasullullah. Rasullullah berjuang penuh keikhlasan, Rasullullah berjuang penuh kejuhudan, Rasullullah kembalikan tawakal pada Ar-Rahmankita.....?? Ikhlaskah diri andainya kerja sering diungkit.

Kita mungkin mengatakan nawaitu kita dalam beramal hanya mutlak pada ALLAH, tapi mampukah kita bulatkan tajarrud bila ujian datang bertandang? Kita juga barangkali mampu seiring cergas, terikat dengan panduan ukhuwah tatkala sama-sama disatu soff, namun bila diuji dengan sedikit kelebihan dan kedudukan, mampukah tunduk pada rumput yang melata di bumi bila diri sudah mencapai kilauan di langit tinggi? Hakikat ikhlas akan tergambar bila dipuji dan cela tiada beza bagi kita, bila kuantiti kerja tetap sama walau dimana kedudukannya.

Kita juga sering menuturkan ingin berkorban sepenuhnya untuk perjuangan. tetapi bila sesekali masalah perjuangan bertembung dengan masalah peribadi, mana yang kita dahulukan?hakikatnya, kita jiwa-jiwa yang masih sayangkan tenaga dan hartanya. Disaat ini, kembali nilaian intima kita dijalan ini,adakah kita dikalangan mereka yang intima secara kebetulan tanpa menyedari peranan, atau kita intima secara sedar dan menyuluh dengan pandangan mata hati.

Bagaimana ketenangan akan dititipkan sekiranya diri kita masih tidak ketahuan? Ujian yang datang dirasa seolah-olah seperti batu besar yang menghempap badan, sedangkan itu hakikat tarbiyyah dan penasihat dari ALLAH.

Seandainya kita adalah orang yang paling sibuk kita sepatutnya merupakan orang yang paling tenang, kerana jiwa kita tertarbiyyah dengan taujihad dan peringatan langsung dari ALLAH. Ketenangan akan hadir bila kita mampu kembali susah dan senang kita pada Nya.

Peruntukkanlah satu ruang khusus untuk bersendirian merintih pada tuhan, sumber ketenangan adalah ALLAH, dan ia hanya akan diberikan kepada mereka yang tidak putus-putus meminta.

Sekiranya Rasullullah menjadi solat sebagai Qurratul Ain dan peluang untuk berehat dari segala keresahan dunia, kita juga perlu begitu. Hanya wasilah taqarrub dan keintiman kita dengan ALLAH akan menentukan istiqomah kita dijalan ini. Kita mungkin mampu menjadi pemimpin yang hebat dimata manusia, kita mungkin mampu mengatur strategi dan perencanaan melebihi orang lain, tapi kita tidak pasti nilaian kita disisi ALLAH. Sekiranya kita disisi manusia dipandang tinggi, biarlah nama kita juga harum seperti di kalangan penduduk langit, biarlah kita diseru dan biarlah kita ini yang sentiasa diminta pemgampunan oleh para malaikat. Biarlah kita menjadi hamba yang sebenar-benar hamba, tunduk dan patuh pada pencipta.

Dhaifnya manusia, ia terkadang tunduk pada emosi dan naluri melebihi ketundukannya kepada ALLAH kerana itu keresahan dan kegelisahan yang menghuni hati.

Justeru, jadikanlah segala gerak kerja kita sebagai wasilah memperoleh ketenangan. Memang kesibukan bertali arus, memang kepenatan tidak berkesudahan, tapi tetaplah tersenyum zahirkan ketabahan. Kita sebenarnya diberi hadiah oleh ALLAH untuk mengumpul pahala darinya. Tak terasakah beruntungnya kita??

Teruslah memujuk hati agar bermujahadah melawan nafsu yang inginkan kerehatan. Mujahadah yang berterusan akan melahirkan kemanisan, dan kemanisan itulah ketenangan yang dicampakkan ALLAH kedalam jiwa hamba-hambanya yang terpilih. Muda-mudahan kita adalah salah seorang diantara mereka.

:Ummi Sakinah


Pantai Irama,Bachok.



:.annuur says:syukranjazilan kepada Ummi Sakinah dengan nasihat dan kata-kata yang sangat berharga kepada kita semua..


selamat berjuang wahai teman-teman semua..





ไม่มีความคิดเห็น: